Karangan 1 - Amalan Berjimat-cermat
Pada zaman moden ini, kos sara hidup semakin meningkat. Hal ini menimbulkan kebimbangan dan keresahan kepada kita. Oleh itu, amalan berjimat cermat perlu diterapkan dalam diri setiap individu dari seorang remaja bergelar pelajar atau dewasa yang bekerja. Amalan berjimat cermat ini sememangnya memberikan banyak manfaat kepada diri kita memandangkan amalan ini dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan, seterusnya mengelakkan pembaziran. Sesungguhnya, melalui pelbagai langkah yang strategik, amalan berjimat cermat sudah pasti dapat diterapkan dalam diri setiap individu.
Antara langkah amalan berjimat cermat yang efektif untuk saya termasuklah membawa bekal ke sekolah. Dengan membawa bekal ke sekolah saya dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian saya. Sebagai contohnya, saya boleh membawa bekal makanan seperti roti, nasi goreng, nasi lemak, kuih-muih dan lain-lain lagi. Dengan ini, saya dapat berjimat sekurang-kurangnya seringgit setiap hari dan lama-lama duit saya akan semakin bertambah. Bak kata bijak pandai, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Melalui langkah ini, saya bukan sahaja dapat berjimat cermat, malah saya dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat. Hal ini demikian kerana saya mengetahui segala bahan yang digunakan untuk memasak dan menyediakan bekal saya. Sehubungan dengan itu, saya tidak akan memasukkan bahan-bahan yang akan memudaratkan diri jika diambil berlebihan. Misalnya, terlalu banyak garam, gula atau perisa. Dengan erti kata lain, sekiranya saya membawa bekal ke sekolah , saya dapat mempraktikkan amalan berjimat cermat yang dapat memberikan impak yang baik kepada diri saya.
Seterusnya, amalan berjimat cermat yang harus saya terapkan dalam kehidupan adalah dengan melakukan rancangan perbelanjaan saya. Saya boleh mewujudkan buku perancangan perbelanjaan menggunakan buku nota atau lejar. Dengan kehadiran buku tersebut, saya dapat mencatat segala perkara yang melibatkan kemasukan atau pengeluaran wang dan perbelanjaan harian saya. Tamsilnya, saya akan mencatat kos yang saya belanjakan untuk membeli makanan di kantin atau alat tulis di kedai. Bukan itu sahaja, duit lebihan yang disimpan juga akan dicatat. Jika wang yang saya belanjakan pada bulan tersebut melebihi sasaran simpanan saya, saya tidak akan menggunakan wang secara berlebihan untuk bulan seterusnya. Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu saya mengawal perbelanjaan saya dengan memberi panduan dan peringatan buat diri sendiri supaya beringat-ingat dalam menggunakan kertas yang bernilai ini. Pendek kata, melakukan rancangan perbelanjaan merupakan langkah yang sangat membantu saya dalam mengamalkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian.
Selain daripada menabung dan merancang perbelanjaan, saya juga boleh menerapkan amalan berjimat cermat dengan membeli barangan keperluan sahaja. Sejajar dengan hal ini, sikap tidak boros sangat diperlukan dalam menjayakan amalan murni ini. Duit saku yang diberikan oleh ibu bapa saya hendaklah digunakan dengan berhemah tanpa dibelanjakan secara berlebihan. Contohnya, saya boleh membuat satu senarai untuk barang-barang keperluan yang perlu dibeli seperti barang sekolah, baju sekolah, alat tulis, buku rujukan,dan makanan harian di kantin. Senarai ini juga termasuklah barang kehendak yang saya inginkan seperti baju dan kasut baharu serta gajet keluaran terkini. Senarai ini berguna untuk saya agar saya tidak serong dari matlamat saya dalam tidak membazirkan terlalu banyak dalam perkara yang tidak berfaedah. Oleh itu, simpanan khas untuk kecemasan yang dibuat awal amat membantu saya membeli barangan keperluan sahaja supaya saya tidak menggunakan wang simpanan yang utama. Bak kata orang-orang tua, sediakan payung sebelum hujan. Perkara ini dapat menjadikan diri saya tidak berbelanja secara berlebihan dan membeli barangan mengikut kemampuan sendiri. Tegasnya, dengan membeli barangan keperluan sahaja, saya dapat mengimplementasikan amalan berjimat cermat yang menambah baik cara pengurusan wang harian saya.
Amalan berjimat cermat bukan melibatkan perbelanjaan wang sahaja, namun penggunaan air dan elektrik juga diambil kira dalam melakukan amalan murni ini. Oleh itu, saya boleh mengamalkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian dengan tidak menggunakan utiliti secara berlebihan tidak kira di mana-mana jua saya berada sama ada di rumah atau di sekolah. Sebagai contohnya, menutup suis lampu dan kipas jika saya meninggalkan bilik. Saya juga tidak membuka lampu pada waktu siang dan menggunakan cahaya semulajadi dari luar untuk mengurangkan kebergantungan saya terhadap elektrik. Dalam pada itu, saya juga tidak boros dalam penggunaan air di bilik air dengan tidak mandi terlalu lama atau menutup paip air sebaik sahaja selesai menggunakannya. Langkah-langkah ini sememangnya dapat menjimatkan kos perbelanjaan bil elektrik di samping meringankan beban ibu bapa saya dalam menguruskan perbelanjaan. Jelaslah bahawa penggunaan utiliti yang berhemah dalam kehidupan saya merupakan usaha yang terbaik untuk memastikan sikap berjimat cermat sentiasa diamalkan.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang saya boleh amalkan boleh saya amalkan demi menerapkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian. Jika sikap ini diabaikan dan dipandang sebelah mata, hidup saya tidak akan terurus dan sentiasa berada dalam tekanan yang melampau kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk keperluan dan kecemasan. Oleh itu, saya menyeru segenap lapisan masyarakat untuk berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan dari perbelanjaan wang sehingga ke penggunaan utiliti. Saya berharap agar masyarakat dapat mengukur baju di badan sendiri terlebih dahulu sebelum membeli barangan kehendak yang berjenama ditambah pula dengan harga yang cekik darah. Sesungguhnya amalan berjimat cermat berupaya meringankan beban kewangan diri pada masa hadapan.
Komen guru:
- Idea relevan
- Kosa kata luas dan mempunyai wacana menarik
- Huraian jelas dan matang
- Ayat gramatis
Comments
Post a Comment