Karangan 2 - Kebaikan dan Keburukan Perbankan Internet
Pada era globalisasi ini, internet sememangnya sudah mendominasi kehidupan manusia seantero dunia sehingga segala perkara boleh menjadi mudah hanya dengan satu klik sahaja. Sehubungan dengan itu, penggunaan internet ini sedikit sebanyak mengubah cara manusia berurusan dengan wang apabila terciptanya perbankan internet. Perbankan internet adalah satu istilah untuk menggambarkan proses pelanggan yang melaksanakan transaksi perbankan melalui cara elektronik. Seseorang itu mestilah mendaftar pada akaun bank digital pilihan masing-masing terlebih dahulu untuk membolehkannya menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan. Akses internet, gajet dan penyemak imbas juga merupakan perkara yang diperlukan untuk menggunakan perbankan internet ini. Namun tidak dapat dinafikan lagi bahawa semua perkara mempunyai baik buruknya yang tersendiri. Oleh itu, terdapat beberapa kebaikan dan keburukan yang disumbang oleh penggunaan perbankan internet dalam kehidupan seharian manusia.
Antara kebaikan perbankan internet kepada manusia termasuklah dapat menjamin keselamatan seseorang. Keadaan ini merujuk kepada individu tersebut apabila terdapat urusan di bank atau ingin mengeluarkan duit di mesin juruwang automatik yang memerlukan dia keluar dari rumah. Apabila seseorang itu keluar dari rumah, dia secara tidak langsung terdedah dengan pelbagai risiko bahaya dan ancaman kes-kes jenayah terutamanya apabila memegang duit dengan jumlah yang banyak. Misalnya, Abu ingin mengeluarkan sejumlah wang yang besar daripada simpanan akaun banknya untuk digunakan sebagai modal perniagaan. Rentetan itu, dia pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan duit. Benarlah kata orang tua-tua bahawa malang tidak berbau. Ketika selesai berurusan dengan bank, sekumpulan perompak telah menculik Abu lalu merampas segala harta benda yang bernilai termasuklah duit modalnya dalam perjalanan pulang ke rumah. Penculikan dan rompakan seperti ini boleh dielakkan melalui perbankan internet. Abu boleh mengeluarkan duit di samping menggunakan kemudahan dan perkhidmatan bank yang lain dengan selamat dan mudah tanpa perlu menghadapi sebarang risiko yang berbahaya hanya dengan berurusan dengan bank di rumah sahaja. Keselamatan diri dan duitnya pun terjamin dan selamat. Tegasnya, dengan mengaplikasikan perbankan internet di rumah, nescaya keselamatan diri dan harta benda seseorang itu selamat daripada tergadai dengan sia-sia.
Seterusnya, seseorang itu dapat menjimatkan wang dan masanya dengan menggunakan perbankan internet di rumah. Hal ini kerana perbankan internet ini membolehkan individu untuk sentiasa mengakses akaun bank pada bila-bila masa sahaja. Contohnya, seseorang itu berupaya untuk melihat dan menyemak baki duit di akaun banknya tanpa perlu ke mesin juruwang terdekat walaupun pada waktu malam ketika waktu beroperasi bank sudah tamat. Hal ini sekaligus dapat menjimatkan masanya daripada terpaksa menunggu giliran atau barisan panjang di bank mahupun di jalan raya. Bukan itu sahaja, wang tambang atau duit minyak juga boleh dijimatkan daripada dibazirkan untuk ke bank semata-mata untuk memindahkan atau mengeluarkan wang. Semuanya boleh dilakukan dan diselesaikan di rumah dengan kewujudan perbankan internet. Perkara ini sememangnya bakal memudahkan urusan seseorang individu yang sibuk bekerja dan mempunyai jadual harian yang padat. Dia tidak perlu terkejar-kejar untuk ke mana-mana bank hanya untuk memperoleh penyata akaun atau untuk membayar balik pinjaman. Jelaslah bahawa perbankan internet ini merupakan serampang dua mata yang menjimatkan masa dan wang seseorang terutamanya untuk pekerja yang sibuk.
Di sebalik banyak kemaslahatan yang disumbang oleh perbankan internet kepada manusia, terselit juga beberapa kepincangan dalam penggunaan platform ini. Antara keburukan perbankan internet yang ketara ialah pengguna terdedah dengan jenayah penipuan internet yang semakin menggila di negara kita bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sememangnya adalah lumrah seorang manusia untuk mudah terpedaya dengan iklan di internet yang menawarkan jualan murah atau promosi istimewa. Bukan itu sahaja, kemudahan ini memudahkan penjenayah-penjenayah siber untuk mencuri duit simpanan pengguna. Sebagai contohnya, mereka menyamar sebagai pihak bank dan sering menggunakan alasan berkenaan dengan isu penyelenggaraan akaun bank yang kononnya memerlukan nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank diri. Bagi segelintir masyarakat yang bijak dan celik mindanya, mereka semestinya tidak akan jatuh ke dalam kancah penipuan ini. Namun, perkara sebaliknya bakal terjadi kepada golongan yang cetek pengetahuannya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi ini dimana wang simpanan mereka akan lesap begitu sahaja. Izharnya, perbankan internet juga mendatangkan keburukan kepada manusia kerana berupaya mendedahkan pengguna kepada jenayah penipuan internet dengan lebih mudah lagi.
Selain itu, keburukan perbankan internet dapat dilihat melalui kemunduran di kalangan sektor runcit. Perkara ini disokong oleh fakta kini yang memaparkan kehidupan manusia yang lebih gemar membeli barangan dalam talian. Golongan seperti ini berpendapat bahawa kaedah ini lebih mudah dan cepat memandangkan mereka hanya menunggu kedatangan barang tersebut sambil boleh melakukan kerja lain tanpa perlu beratur atau menghadap kesesakan lalu lintas. Hal ini membolehkan mereka berbelanja di mana-mana jua mereka berada pada bila-bila masa sahaja. Bukan itu sahaja, kebanyakan kedai runcit tidak mempunyai kemudahan perbankan internet ini. Segelintir peniaga runcit masih mengimplimentasikan cara lama dalam pelan perniagaan mereka iaitu dengan menggunakan khidmat mesin juruwang. Namun, disebabkan oleh kemodenan masyarakat kini, mereka cenderung untuk membayar menggunakan perbankan internet daripada duit kertas. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan mereka memilih untuk berbelanja di premis perniagaan yang mempunyai kemudahan untuk membayar secara dalam talian. Dengan ketiadaan khidmat pembayaran perbankan internet di sektor runcit, perkara ini menyebabkan kedai-kedai runcit dipandang enteng oleh kebanyakan masyarakat seterusnya tidak menjadi pilihan utama untuk membeli barangan. Pendek kata, penggunaan perbankan internet yang meluas kini telah menenggelamkan sektor runcit di negara kita ke tahap yang membimbangkan.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa pandangan pro dan kontra mengenai perbankan internet yang dipaparkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan manusia. Masyarakat Malaysia khususnya tidak wajar untuk memandang enteng penggunaan perbankan internet ini sebaliknya belajar menguasai ilmu teknologi maklumat dan komunikasi demi meningkatkan produktiviti ekonomi negara. Masyarakat juga seyogia menggunakan kemudahan ini dengan berhati-hati dan berhemah agar tidak menjadi mangsa penipuan jenayah siber. Oleh itu, sinergi semua pihak dari sektor kerajaan ke sektor swasta amat diperlukan untuk membawa penggunaan perbankan internet dalam kalangan masyarakat ke tahap yang memberangsangkan sambil berusaha mengurangkan kelemahan yang ada dalam usaha untuk meletakkan Malaysia di tahap negara maju.
Comments
Post a Comment