Karangan 3 - Tanggungjawab Saya dalam Memupuk Budaya Penyayang di Sekolah
Dalam menuju era globalisasi dan kemajuan teknologi, kita masih dikejutkan dengan isu-isu semasa yang berkait dengan golongan remaja seperti vandalisme, buli, penyalahgunaan dadah dan kes rokok di sekolah. Malah, kes pertelingkahan murid dengan gurunya pun tidak lagi asing untuk didengari kini. Kemelut-kemelut ini sememangnya menjadi tanda-tanda kebejatan akhlak dan lusuhnya budaya penyayang dalam diri remaja dan murid-murid di sekolah secara umumnya. Jika konflik ini dibiarkan tidak bernokhtah, maka tidak hairanlah sekiranya Malaysia bukan lagi dikenali kerana sifat positif rakyatnya tetapi masalah-masalah sosial dan kes-kes jenayah yang dilakukan oleh generasi muda kini yang secara tidak langsung bakal menconteng arang pada imej negara kita. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya penyayang ini di sekolah agar dapat menangani masalah dan isu sosial pada masa akan datang.
Dalam usaha untuk menyemai budaya penyayang di sekolah, saya perlu menjadi seorang murid yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji. Dengan mempraktikkan budi bahasa yang sopan dan menghormati orang di sekeliling, saya dapat menunjukkan contoh teladan yang baik dan wajar untuk diikuti dan diamalkan oleh rakan sebaya. Sehubungan dengan itu, saya boleh mengimplementasikan konsep kepimpinan melalui teladan di mana saya bukan hanya tahu bercakap dan menegur sahaja namun saya melakukan perkara yang dibangkitkan. Sebagai contoh, di samping memberi nasihat kepada rakan yang bertindak kurang ajar dengan guru, saya juga perlu sentiasa menghormati semua warga sekolah terutamanya guru iaitu insan yang bersusah payah mencurah ilmu tidak henti-henti demi kejayaan anak muridnya. Saya juga hendaklah menjaga percakapan dengan memilih kata-kata yang sopan dan lemah-lembut sambil bernada perlahan dan tidak meninggikan suara. Bukan itu sahaja, saya perlu prihatin dan membantu rakan sekelas saya dengan membimbing mereka dalam mata pelajaran atau topik yang kurang difahami demi mengamalkan budaya penyayang. Impaknya, rakan-rakan saya dan murid-murid lain akan mula sedar dengan sifat mahmudah yang saya pamerkan lantas melazimi amalan dan sifat tersebut dalam kehidupan bersekolah mahupun sehari-harian mereka. Perkara ini secara tidak langsung akan menjadikan mereka murid yang penyayang di sekolah. Tuntasnya, saya perlulah memainkan peranan dalam memupuk budaya penyayang di sekolah dengan mengamalkan akhlak yang terpuji dengan kerap.
Saya juga bertanggungjawab untuk menanam budaya penyayang di sekolah dengan menyertai pelbagai program sekolah sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum pada semua peringkat. Melalui program yang diadakan, saya dapat melakukan dan menjalani aktiviti atau tugasan bersama-sama dengan murid lain tidak kira murid yang lebih tua atau yang lebih muda dan apa jua bangsa sekali pun. Di sini, saya dapat belajar untuk bekerjasama mencapai persefahaman dalam menyelesaikan masalah di samping bersifat terbuka dan menghormati pendapat orang lain kerana tak kenal maka tak cinta. Pada masa yang sama, aktiviti yang disertai dapat menimbulkan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan murid dan membangkitkan semangat untuk mencapai suatu kejayaan atau penghargaan untuk diri sendiri dan sekolah. Misalnya , saya boleh mengambil bahagian dalam aktiviti secara berkumpulan seperti bersukan atau bergerak aktif dalam mengendalikan unit uniform dan kelab persatuan. Saya juga wajar untuk menggarap peluang untuk menyertai pertandingan koakademik seperti kelab berpantun, berpidato, mendeklmasikan sajak pada peringkat sekolah, negeri mahupun kebangsaan. Dalam pada itu, saya juga boleh menyertai pasukan kawad kaki mewakili rumah sukan saya dalam usaha untuk membudayakan sifat penyayang di sekolah dari aspek kokurikulum. Langkah ini seterusnya dapat mengeratkan hubungan antara murid dengan murid dan hubungan antara murid dengan guru melalui pelbagai siri bimbingan dan perbincangan dalam kumpulan. Berbekalkan sinergi yang mapan dari pelbagai pihak secara tidak langsung menyemai budaya penyayang di sekolah. Jelaslah bahawa, saya dapat menanam budaya penyayang dalam jiwa murid dengan menyertai rencaman program yang dianjurkan pihak sekolah.
Selain daripada mengamalkan akhlak yang terpuji dan menyertai program sekolah, saya juga perlu mempunyai prinsip dan jati diri yang kukuh. Berbekalkan dengan prinsip dan jati diri yang teguh, saya tidak mudah terpedaya dengan amalan yang tidak sihat dan tersasar ke dalam lembah yang negatif dan tingkah laku yang buruk. Di samping itu, saya tidak menjadi pak turut bagai lembu dicucuk hidung kepada murid atau individu yang terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sihat seperti perokok, pengedar dadah dan pembuli. Untuk memastikan saya memupuk budaya penyayang di sekolah, saya mestilah menghindari murid yang bermasalah dan berkelakuan tidak baik dan mengelakkan diri daripada membuli, bersikap kurang ajar dengan guru dan tidak mematuhi peraturan sekolah. Pendirian saya mestilah berpadukan sifat-sifat yang mulia dan bukannya sifat-sifat mazmumah seperti khianat, dengki, menunjuk-nunjuk, kedekut dan hidung tinggi agar dapat mengaplikasikan budaya penyayang dalam hubungan sesama rakan. Melalui keteguhan jati diri, saya dapat terus mengamalkan amalan yang baik dan menjadi panduan kepada rakan-rakan sebaya untuk menjadi murid yang penyayang. Tegasnya, dengan mempunyai prinsip dan jati diri yang kukuh, saya dapat memainkan peranan sebagai seorang murid yang bertanggungjawab dalam memupuk budaya penyayang di sekolah.
Di samping itu, saya hendaklah menjadi mata dan telinga kepada pihak sekolah untuk melaporkan kes salah laku disiplin yang berlaku dalam kalangan murid kepada guru disiplin atau guru bertugas. Murid yang didapati bersalah kemudiannya akan diambil tindakan lanjutan yang sewajarnya demi menangani masalah disiplin dengan lebih pragmatik dan tegas. Walaupun saya bukan seorang pengawas, saya perlu menggalas tugas untuk menyemai budaya penyayang di sekolah dengan tetap melaporkan perihal isu dan masalah disiplin murid. Jika rakan karib saya melakukan kesalahan seperti vandalisme dan membuli, saya wajarlah untuk menegurnya dengan kata-kata yang berhikmah atas dasar sayang kepada rakan supaya dia berubah dan tidak mengulangi kesalahannya lagi. Sekiranya dia masih membuli dan melakukan vandalisme, saya akan terus memberitahu guru disiplin agar dia dikenakan hukuman yang setimpal. Saya seyogianya tidak bersikap memilih bulu dalam hal yang berkaitan dengan kepincangan disiplin murid dengan segera memberitahu guru tentang kesalahan yang dilakukan walaupun murid tersebut ialah rakan karib saya. Saya juga tidak sepatutnya berasa berasa gentar kerana risau akan dibuli pada masa akan datang memandangkan berani kerana benar, takut kerana salah dan bukannya berkongkalikung dengan murid tersebut. Perkara ini berupaya memberi peringatan kepada murid lain untuk tidak mengikuti tindakan rakan saya seterusnya mewujudkan sekolah bebas masalah disiplin di samping menempa budaya penyayang dalam diri murid-murid. Pendek kata, saya bertanggungjawab untuk menjadi mata dan telinga pihak sekolah dalam membangkitkan sifat penyayang di sekolah.
Kesimpulannya, sebagai seorang murid yang bertanggungjawab, saya perlulah memainkan peranan saya dengan sehabis baik dalam memupuk budaya penyayang di sekolah. Menurut peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang yang bermaksud sesuatu itu tidak akan berhasil tanpa usaha yang sewajarnya. Sesungguhnya, budaya penyayang ini semangnya perlu ditekankan dalam kehidupan murid-murid dengan lebih tegas lagi demi melahirkan generasi yang berakhlak tinggi di samping menyediakan pewaris yang matang untuk meneraju tanah air tercinta ini.
Maksud :
- berkongkalingkung - bersepakat
- seyogia - seharusnya, sepatutnya, sewajarnya
- kebejatan - kerosakan, keburukan
- lusuh - luntur
- mengimplementasikan - mengaplikasikan
- mengendalikan - mengelola, mengurus,
yeyyy
ReplyDelete